KADAR BILANGAN JEMAAH SOLAT JUMAAT
Sekalipun, para ulama sepakat bahawa syarat sah solat Jumaat hendaklah dilakukan secara berjemaah. Namun, mereka telah berselisih pada kadar bilangan jemaah yang menjadi had penentuan sahnya solat Jumaat kepada beberapa pendapat.
Menurut Abu Hanifah dan Muhammad al-Syaibani, bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah empat orang termasuk Imam. Akan tetapi, Abu Yusuf menyatakan bahawa bilangan jemaah solat Jumaat ialah tiga orang termasuk Imam. (Lihat Kanz al-Daqaiq, hlm. 189; Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, 1/268 dan al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/504)
Manakala ulama mazhab Maliki menyatakan bahawa bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah 12 orang lelaki yang bermastautin dan kekal bersama Imam dari awal khutbah sehinggalah selesai menunaikan solat Jumaat. (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/248-249)
Ulama mazhab Syafie dan Hanbali pula meletakan syarat bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah seramai 40 orang atau lebih. Ini juga adalah merupakan pendapat ‘Ubaidullah bin Abdullah bn ‘Utbah, dan salah satu riwayat Umar bin Abdul Aziz. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/503; al-Umm, 1/219; dan al-Raudh al-Murbi’, hlm. 151) Empat puluh orang lelaki tersebut mestilah memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة) iaitu lelaki, baligh dan bermastautin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/202) Juga bilangan 40 orang itu hendaklah berkekalan dari awal hingga akhir Jumaat. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/160-163) Antara hujah mereka ialah riwayat daripada Abd al-Rahman bin Ka’ab bin Malik yang menyebutkan bahawa jumlah jemaah solat Jumaat yang pertama di Madinah ialah 40 orang lelaki. Riwayat al-Daraqutni (1585)
KESIMPULAN
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat di rumah bersama ahli keluarga sahaja adalah tidak boleh dan tidak sah. Hal ini kerana perkara tersebut tidak memenuhi syarat-syarat sah solat Jumaat sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama terutamanya mazhab Hanafi yang meletakkan keizinan pemerintah sebagai syarat sah solat Jumaat. Lebih-lebih lagi, perbuatan tersebut itu juga tidak menunjukkan ciri solat Jumaat serta tidak memenuhi hikmah utamanya iaitu pertemuan setiap peringkat orang Islam di dalam satu kariah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/199)
Rujukan:
– SOLAT JUMAAT – Karya Agung Imam An-Nawawi المجموع شرح المهذب , terbitan Pustaka Salam
– Kitab Fikah Mazhab Syafie, terbitan Pustaka Salam
– Hukum solat Jumaat di Rumah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
m/s: 447
Reviews
There are no reviews yet.